Friday, January 19, 2007

 

bangau oh bangau - MUQADDIMAH

ni la dia yang pak cik janjikan tu...
sebagai permulaan, kita baca muqaddimahnya...
semoga ada sedikit manfaat...

MUQADDIMAH

Salam sejahtera,

Buat semua pembaca budiman. Semoga sentiasa tabah dan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dilakukan. Walaupun hasil yang didapati tidaklah seperti yang diharapkan, kita akan rasa suatu nikmat kepuasan bila menyedari yang kita telah melakukannya dengan cara yang terbaik yang kita mampu lakukan.

Berkenaan dengan muqaddimah ini, berdasarkan pengalaman sendiri serta sedikit pengamatan, rasanya tidak ramai orang yang membacanya, entah kenapalah agaknya, mungkin kita boleh gunakan kaedah ‘bangau oh bangau’ untuk mengetahui apakah punca, apakah sebabnya.

Saya dulupun jarang membaca ‘muqadimah’ atau ‘kata-kata pendahuluan’ atau ‘ kata pengantar’ atau ‘sekapur sirih’ atau lain-lain lagi yang panggilan yang diberikan. Bila diterangkan oleh ‘syifu’ tentang manfaat membaca ‘muqaddimah’, barulah saya ‘bertaubat’, dan seboleh mungkin berusaha untuk meneliti dahulu ‘muqaddimah’ sebelum masuk meneroka ke isi kandungannya. Mungkin di lain kesempatan kita boleh sama-sama bincangkan berkenaan permasalahan ini dengan lebih mendalam.

Sebenarnya, idea untuk untuk menulis seloka?! ini terbit pada tahun 1998 lagi. Sewaktu menelaah buku rujukan untuk mencari bahan-bahan bagi sesi perbincangan mingguan di sebuah kilang di Pengkalan Chepa, saya terbaca mengenai kaedah untuk menyelesaikan masalah yang diperkenalkan oleh seorang pakar pengurusan kualiti daripada Jepun. Pakar tersebut menegaskan yang ‘5W1H’ haruslah digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan. ‘5W1H’ yang beliau maksudkan itu bukanlah ‘5W1H’ yang pernah kita belajar di dalam kelas bahasa Inggeris di sekolah dulu – Who, What, Where, When, Why dan How. ‘5W1H’ yang beliau maksudkan ialah 5 kali ‘Why’, dan diikuti dengan ‘How’. Maknanya, dalam menyelesaikan sesuatu masalah, kita perlu mencari, atau lebih sesuai digunakan perkataan ‘menggali’, punca sebenar permasalahan tersebut terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah-langkah penyelesaian. Dalam usaha menggali punca sebenar, kita perlu tanya “Kenapa?” sekurang-kurangnya 3 kali. Walaubagaimanapun, satu perkara penting yang harus kita sentiasa ingatkan pada diri kita ialah kita mesti bertanya dengan niat untuk mencari punca sebenar, bukannya untuk mencari alasan pemunasabahan.

Ketika itulah terlintas lagu ‘Bangau oh bangau’ di kepala saya. Setelah bersusah-payah mencari lirik lagu ‘Bangau oh bangau’ tu, dan beberapa kali mengolahnya, maka saya pun memberanikan diri untuk memperkenalkannya kepada khalayak umum yang terdekat. Alhamdulillah, sambutannya agak memberangsangkan. Itu telah memberi perangsang kepada saya untuk mendakap suatu cita iaitu membukukannya supaya dapat dikongsikan dengan khalayak yang lebih besar.

Dengan membaca seloka ‘Bangau oh bangau’ ini, seseorang itu boleh terus menjadi seorang ‘penyelesai masalah’? Bukan itu yang saya harapkan. Banyak lagi kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang penyelesai masalah yang baik. Seloka ini diolah sebagai satu bahan penyedia ‘platform minda’ untuk menjadi seorang penyelesai masalah. Apabila ‘platform minda’ telah tersedia, kemahiran-kemahiran lain akan dapat berjalan dengan lancar. Itulah harapan sebenar saya kerana saya merasakan bahawa keupayaan menyelesaikan masalah adalah suatu kemahiran yang penting bagi setiap individu yang menjalankan sesuatu tugasan, tak kira samada di tempat kerja mahupun di rumah.

Masalah ada di mana-mana. Menidakkannya atau melarikan diri daripadanya tidak akan membawa kebaikan dan kita tidak akan ke mana. Saya rasa cara yang terbaik untuk memajukan diri kita ialah dengan melengkapkan diri dan bersemuka dengan masalah itu.

Selamat menikmati kemanisan bergelut dengan masalah!

Ikhlas dari hamba,

wawi alkhadeem (alkhadeem@maktoob.com)

November 2006

Labels: , ,


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]